5 terkorban dalam serangan antara pemberontak Yaman dengan Saudi
SANAA: Dua orang terbunuh di Arab Saudi dalam satu serangan peluru yang didakwa dilancarkan oleh pemberontak Huthi Yaman, menurut pihak berkuasa hari ini (25 Dis). Sementara itu, tiga lagi terkorban di Yaman dalam serangan udara oleh gabungan pimpinan Riyadh.
Yaman terjerat dalam perang saudara sejak 2014 dengan pemberontak Huthi yang disokong pemerintah Iraq menentang pemerintah yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong oleh gabungan tentera pimpinan Saudi.
Menurut pertahanan awam Saudi, dua orang - seorang warga Saudi dan seorang lagi warga Yaman, terbunuh manakala tujuh mangsa lain cedera dalam satu serangan peluru di Jazan, wilayah selatan Arab Saudi dekat sempadan Yaman.
"Sebutir peluru tentera gugur di sebuah kedai runcit di jalan raya utama, menyebabkan dua kematian," menurutnya dalam satu kenyataan.
Tujuh mangsa lain cedera, enam warga Saudi dan seorang rakyat Bangladesh, tambahnya.
Di Yaman, para anggota perubatan berkata tiga orang terbunuh dan enam yang lain cedera dalam serangan udara yang dilancarkan oleh gabungan pimpinan Saudi di Ajama, iaitu sebuah bandar di barat laut ibu kota Sanaa yang ditakluk pemberontak.
"Tiga orang awam termasuk seorang budak serta seorang wanita terbunuh dan enam yang lain cedera," anggota perubatan itu memberitahu AFP.
Huthi Yaman kerap melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke negara jiran Arab Saudi yang menyasarkan lapangan terbang serta prasarana minyaknya.
Namun, insiden terkini ini menandakan kali pertama dalam masa beberapa bulan, di mana serangan Huthi ke atas Saudi membawa kepada kematian.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan perang Yaman meragut 377,000 jiwa menjelang hujung tahun - baik dari segi kesan secara langsung mahupun tidak.
Lebih 80 peratus penduduk Yaman seramai 30 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan.