Gambar Pilihan Hari Ini
BERITAmediacorp: Selalunya, Upin dan Ipin mewarnai hari-hari para penonton, terutama sekali kanak-kanak yang menghabiskan masa mereka menyaksikan gelagat-gelagat lucu kembar serupa itu. Namun, ramai terkejut apabila terlihat rakaman video yang tular di TikTok pada Isnin (17 Jan).
Dalam video yang tular itu, Upin dan Ipin didakwa merupakan orang betul yang sudah meninggal dunia pada tahun 1995 dan 1996 dan cerita kartun itu berdasarkan kehidupan penduduk-penduduk Indonesia ini.
Bukan sahaja penonton yang terperanjat, malah para penerbit kartun Upin dan Ipin pun terpinga-pinga melihat berita tersebut. Akaun rasmi Facebook kembar itu mendedahkan bahawa kartun itu rekaan semata-mata dan tidak berdasarkan mana-mana manusia sebenar, manakala penerbit dan pengarah Les' Copaque Production Sdn Bhd yang menerbit kartun Upin dan Ipin berseloroh menerusi akaun Facebook peribadinya bahawa Upin dan Ipin belum meninggal dunia ataupun lesap daripada skrin televisyen dan musim baru kartun itu akan bermula tidak lama lagi.