6 pelumba TSG disenarai pendek ke Sukan SEA
KUALA TERENGGANU: Enam pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berada dalam senarai pendek Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menggalas cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Vietnam.
Bagaimanapun nama pelumba berkenaan masih lagi dirahsiakan dan akan diumumkan apabila tiba masa sesuai berikutan Sukan SEA di Hanoi yang dijadualkan berlangsung pada November ini, kini menjadi tanda tanya berikutan kebimbangan pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata calon pelumba disenarai pendek itu diputuskan dalam mesyuarat persiapan pasukan negara bagi menghadapi Sukan SEA di pejabat PKBM di Melaka pada 7 April lalu.
"Hasil perbincangan bersama dalam mesyuarat itu, pada 16 Jun lalu, PKBM mengeluarkan senarai pendek barisan pelumba yang bakal memikul cabaran negara ke Sukan SEA di Vietnam termasuk enam daripada TSG," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam seorang pelumba TSG, Mohd Harrif Saleh menggesa PKBM mengumumkan segera calon yang bakal mewakili negara ke temasya sukan dwitahunan itu memandangkan kejohanan kian hampir.
Harrif memberi pandangan berkenaan bagi memastikan pelumba berbasikal negara dapat bersedia lebih awal dalam misi memburu seberapa banyak pingat.
Mengulas lanjut, Che Ku Mohd Izmuddin berkata pihaknya mengakui kesilapan yan berlaku dan berharap ia tidak berlaku lagi.
"Pengurusan TSG mengakui kekhilafan berlaku dan akan memastikan setiap kenyataan media dikeluarkan pegawai mahupun pelumba terlebih dahulu merujuk kepada pengurusan tertinggi pasukan agar tidak berlaku sebarang kekeliruan bagi mengelak imej pihak tertentu terjejas.
"Berkaitan keluhan Harrif itu, pengurusan percaya itu pandangan peribadinya dan bercanggah dengan situasi sebenar memandangkan tarikh Sukan SEA di Vietnam belum diputuskan lagi. Sebagai pelumba profesional, mereka perlu bersedia sepanjang masa bukan sahaja mewakili negara malah juga kelab," katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd