Warga emas dengan komorbiditi boleh ambil dos penggalak kedua
Individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi kini diberi pilihan mendapatkan vaksin dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat selepas kajian saintifik dan kajian kohort Malaysia oleh Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) mendapati individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko lebih tinggi mendapat gejala serius dan kematian akibat Covid-19.
“Buat masa ini, vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Khairy berkata bagi individu berumur 60 tahun ke atas yang telah lengkap mengambil dos penggalak dan didapati mengalami jangkitan Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua tiga bulan selepas mereka pulih sepenuhnya.
Bagi individu yang berumur 60 tahun ke atas yang sihat dan tidak mempunyai komorbiditi berisiko tinggi, dia berkata mereka perlu berbincang dengan pengamal perubatan bagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak kedua berdasarkan pertimbangan mereka.
Selain itu, Khairy berkata remaja berumur 12 tahun ke atas dengan sistem pertahanan badan yang lemah juga diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.
Bagaimanapun, dia berkata pelaksanaan syor terbaru itu tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.
Katanya, KKM kini sedang mengemas kini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan pelaksanaan tersebut dan telah menerima permohonan bagi individu ingin ke luar negara untuk mendapatkan dos penggalak kedua bagi memenuhi keperluan ke luar negara.
“Sebagai contoh, terdapat sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer dan dos penggalak.
“Justeru, individu yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas selang masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama bagi memenuhi keperluan ke luar negara,” katanya yang menambah KKM mempunyai 5.7 juta bekalan vaksin Pfizer bagi menampung keperluan suntikan dos penggalak.
Sehingga 31 Mac 2022, Khairy berkata sebanyak 701 individu telah menerima sijil digital pengecualian vaksinasi atas sebab perubatan, justeru, individu tersebut juga akan mendapat pengecualian dos penggalak secara automatik.
Katanya, bagi individu yang tidak layak mendapat dos penggalak atas sebab perubatan, mereka perlu membuat permohonan baru dengan mendapatkan pengesahan pakar perubatan dan seterusnya membuat permohonan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan, dengan mengemukakan Slip ‘Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin Covid-19 bagi pesakit dengan Masalah Kesihatan Tertentu’.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan berkuat kuasa 22 April ini, kontak rapat tanpa gejala tidak perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) manakala kontak rapat bergejala pula dinasihatkan untuk melakukan kuarantin kendiri.
-Bernama