JDT cari tonik terbaik sebelum aksi ACLE
AKSI menentang pasukan tercorot, Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam ini seakan menjadi aksi pemanas badan sempurna buat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum berdepan tugasan lebih mencabar selepas ini.
Walaupun terdapat jurang ketara antara kedua-dua pasukan, pengendali JDT, Hector Bidoglio memberi bayangan untuk menyenaraikan skuad terbaik bagi mendapatkan gambaran awal sebelum berdepan Ulsan Hyundai di pentas Liga Juara-Juara Elit (ACLE), Selasa ini.
“Sejak awal kami sudah tunjukkan peningkatan, ada kestabilan ketika bertahan mahupun semasa menyerang. Kami tidak ada jalan lain kecuali perlu terus bekerja keras untuk tingkatkan kualiti individu dan pasukan.
“Saya gembira dengan skuad yang kami ada, namun kami juga akan harungi musim penuh mencabar. Kita juga tahu yang kami akan hadapi perlawanan sukar dan penting selepas ini.
“Kami kena pilih pemain tepat pada masa yang tepat. Kami masih ada banyak perlawanan dan bagi saya semua aksi adalah penting,” katanya.
Kemenangan 3-0 ke atas pencabar terdekat, Selangor FC, Ahad lalu seakan membuka jalan lebih luas buat Harimau Selatan untuk memastikan kejuaraan Liga Super kali ke 11 berturut-turut.
Mengambil kira baki 12 perlawanan lagi yang perlu diharungi, Bidoglio lebih selesa dengan sikap rendah diri kerana kekal beranggapan kelebihan lapan mata ketika ini tidaklah terlalu besar.