Ibu kecewa Mancini tidak senaraikan Balotelli
ROME: Ibu pengurus Itali, Roberto Mancini, Marianna Puolo kecewa dengan keputusan anaknya tidak menyenaraikan Mario Balotelli dalam playoff Piala Dunia 2022 menentang Macedonia Utara kelmarin.
Skuad Azzurri tumpas 0-1 di depan penyokong sendiri hasil jaringan masa kecederaan Aleksandar Trajkovski, sekali gus gagal ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Mancini menggunakan Ciro Immobile sebagai penyerang tunggal sebelum memasukkan Joao Pedro di hujung perlawanan, namun mereka gagal memanfaatkan 32 percubaan yang dilancarkan ke gawang lawan.
Puolo percaya, Itali pasti mampu menyempurnakan salah satu daripada percubaan itu jika anaknya menurunkan Balotelli.
“Saya pasti akan menyenaraikan Balotelli kerana dia memiliki kekuatan fizikal luar biasa dan tiada siapa mampu menghalangnya di depan gawang,” kata Puolo.
Balotelli, 31, meledak 12 gol untuk kelab Turki, Adana Demirspor musim ini tetapi dipinggirkan Mancini dan tidak bermain buat negaranya sejak September 2018.
Kegagalan Itali ke Qatar bermakna, Balotelli adalah penjaring terakhir mereka di Piala Dunia sehinggalah pasukan itu beraksi pada 2026.
Dia menjaringkan gol ketika pasukannya mengalahkan England 2-1 di Brazil pada 15 Jun, 2014.
Menurut Puolo, Itali sepatutnya layak secara automatik ke Piala Dunia 2022 tanpa perlu mengharungi playoff sekiranya Jorginho menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi menentang Switzerland, November tahun lalu.
“Malangnya kesilapan seperti Jorginho membawa padah. Saya tidak mahu menyalahkannya kerana dia bukannya sengaja, tetapi jika anda terlepas tiga penalti…,” katanya.
Jorginho gagal menyempurnakan tiga sepakan penalti tahun lalu, termasuk dua ketika menentang Switzerland dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022.
Puolo turut mempersoalkan peranan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma yang tewas kepada tendangan jarak jauh Trajkovski walaupun Macedonia Utara hanya melancarkan lima percubaan sepanjang permainan. – AGENSI