Penyokong kelab bola sepak Israel diserang di Amsterdam
AMSTERDAM – Penyokong kelab bola sepak dari Israel, Maccabi Tel Aviv diserang selepas perlawanan bola sepak yang berlangsung petang Khamis dengan kelab tempatan Belanda, Ajax.
Dalam video di rangkaian sosial, peminat Maccabi Tel Aviv dilihat diserang di beberapa lokasi di bandar itu.
Portal berita Yeshiva World News melaporkan, beratus penyerang dilaporkan menyasarkan warga Israel di seluruh bandar mengakibatkan beberapa kecederaan.
Saksi menyifatkan serangan hendap terancang menunggu penyokong Israel di luar stadium dan berlaku kejadian tikaman, rempuhan kereta dan pukulan di beberapa jalan.
Rakaman juga menunjukkan individu bertopeng cuba menceroboh hotel di mana peminat Israel dilaporkan menginap.
Media tempatan melaporkan beberapa titik panas di seluruh Amsterdam, dengan polis berada di tempat kejadian cuba mengawal huru-hara.
Seorang peminat Maccabi Tel Aviv, berusia 30 tahun yang baru sahaja menyelesaikan empat bulan tugas simpanan tentera di Gaza, menceritakan keganasan itu.
“Apa yang saya lalui di sini tidak kurang menakutkan daripada Gaza. Saya dilanggar dan seseorang menghunus pisau ke arah saya. Saya cedera ringan, tetapi saya hanya akan mendapatkan rawatan di Israel. Kami diserang hendap. Saya terkejut.”
Sekurang-kurangnya lima warga Israel mengalami kecederaan, dengan yang lain terpaksa mencari perlindungan di kedai dan bangunan berdekatan.
Polis tempatan campur tangan dengan mengiringi beberapa penyokong Israel pulang dengan selamat ke hotel mereka di tengah-tengah ketegangan yang memuncak.
Media tempatan Belanda sebelum itu melaporkan kejadian penyokong Israel mengoyak dan menurunkan bendera Palestin yang berkibar ketika mereka berarak melalui Amsterdam pada malam Rabu menjelang lawatan Maccabi Tel Aviv ke Ajax.
Video menunjukkan berpuluh-puluh figura bertopeng dan berpakaian serba hitam bersorak dan menyebut ‘f*** you Palestine’ dan ‘ole’ ketika seorang memanjat sebuah bangunan dan menurunkan bendera Palestin.
Rakaman juga menunjukkan seorang samseng memukul teksi dengan palang sebelum pemandu itu berlepas, sementara terdapat pergaduhan yang dilaporkan antara samseng yang melawat dan teksi.
The Times of Israel melaporkan, Presiden Benjamin Netanyagu telah menghantar dua pesawat untuk membawa pulang warga Israel di situ.-Agensi