Pentadbiran Biden sedang timbang semula pemindahan senjata bernilai $18 bilion kepada Israel
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden sedang menimbangkan sama ada akan meneruskan rancangan menawarkan pakej pemindahan senjata tentera bernilai AS$18 bilion (S$24.4 bilion) kepada Israel, menurut lima sumber yang tahu-menahu tentang perkara ini.
Pakej tersebut turut merangkumi pemindahan puluhan pesawat F-15.
Penjualan 25 F-15 daripada syarikat Boeing kepada Israel disemak semula sejak Amerika Syarikat menerima permohonan rasmi pada Januari 2023, menurut satu sumber, iaitu sebelum Israel menjalankan kempen tenteranya di Gaza yang sudah berlarutan selama enam bulan.
Jumlah pesawat F-15 yang ingin dijual mahu ditambah kepada 50.
Semasa Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant melawat Washington pada minggu lalu, antara perkara utama yang diminta adalah mempercepatkan penghantaran pesawat-pesawat tersebut. Beliau mengadakan pertemuan dengan para pegawai Amerika, termasuk Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin, menurut sumber kedua.
Presiden Biden berdepan tekanan daripada rakan-rakan luar, kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mahupun sebilangan anggota Demokrat dalam Kongres untuk menyekat pemindahan senjata kepada Israel agar ia menghentikan serangan di Gaza, di mana lebih 32,000 rakyat Palestin sudah dibunuh, kebanyakan daripadanya ialah orang awam.
Seorang pegawai Amerika berkata tarikh paling awal pesawat akan dihantar adalah pada 2029, itu pun jika pemberitahuan rasmi dikirimkan kepada Kongres esok segera dimuktamadkan.
Israel mahu menambah bilangan pesawat tempurnya bukan hanya untuk meneruskan peperangan dengan Hamas, tetapi juga untuk mempertahankan diri daripada kumpulan Lubnan yang disokong Tehran, Hezbollah, di sempadan utaranya, mahupun dari Iran.