Emas capai paras tertinggi, melebihi AS$2300/auns
PETALING JAYA – Harga emas melepasi paras AS$2,300 (RM10,904) per auns, atau RM384/gram buat pertama kali pada Khamis, setelah ia terus melonjak di sebalik jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan turun tahun ini, selain ketegangan geopolitik yang tinggi.
Logam berharga itu telah mencatatkan beberapa rekod sejak beberapa minggu kebelakangan ini kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) membayangkan ia akan mula melonggarkan dasar monetarinya, menjadikan emas semakin menarik kepada pelabur.
Populariti emas sebagai perlindungan yang selamat sewaktu kegawatan juga telah memberikannya banyak sokongan, dengan peniaga resah akan krisis di Asia Barat serta perang yang berterusan di Ukraine.
Pada hari Khamis, jongkong emas mencecah AS$2,304.96 (RM10,927) setiap auns, menurut Bloomberg News, selepas Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, mungkin sesuai untuk mengurangkan kos pinjaman “pada satu ketika tahun ini”.
Tumpuan ketika ini adalah pada pengumuman angka pekerjaan AS yang dijangka pada akhir minggu, dengan bacaan yang lemah berkemungkinan memberi ruang kepada Fed untuk mengurangkan kadar lebih awal. – AFP