Farid tabur janji palsu, Diana nekad cerai lagi
Pelakon Diana Danielle hari ini memaklumkan dia bakal memfailkan penceraian kali kedua dengan suaminya, Farid Kamil.
Diana mendakwa Farid hanya pandai menabur janji-janji kosong sebagai suami.
“Saya sudah membuat keputusan secara rasmi untuk berpisah daripada suami dan akan memfailkan permohonan penceraian.
“Dia mungkin seperti biasa akan muncul dengan bunga dan cincin malah menabur janji palsu,” katanya di Instagram Story.
Diana, 34, enggan memperincikan punca mahupun kesilapan dilakukan Farid kali ini.
Namun Pelakon filem Imaginur itu nekad mengucapkan selamat tinggal kepada Farid, 43.
“Semoga kehidupan kami baik-baik,” katanya.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Selangor pada 10 Ogos tahun lalu.
Mereka kembali rujuk selepas 21 hari bercerai.
Bagaimanapun, media melaporkan Farid dan Diana belum mendaftarkan pengesahan rujuk yang dibuat pada 31 Ogos lalu.
Pada masa sama, Diana berkata dia enggan dipujuk untuk berpatah balik daripada keputusan nekad itu.
“Dan ya, jangan pujuk,” katanya melalui hantaran berbeza.