'Mujur saya dah ambil dos penggalak'

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz kini berada dalam keadaan bertambah baik selepas tiga hari disahkan positif Covid-19.
Azira ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami gejala yang terlalu serius.
"Hari ini, dah masuk hari ketiga. Alhamdulillah, keadaan demam saya pun dah bertambah baik berbanding awal-awal ketika disahkan positif.
"Gejala yang saya alami juga tidak terlalu teruk. Cuma, ada batuk-batuk dan sakit tekak saja. Syukur, tak ada sebarang kehilangan deria rasa atau bau," katanya kepada Harian Metro.
Tambah anggota kumpulan Defam itu lagi, dia juga sudah menerima suntikan dos penggalak sebelum ini.
"Mujurlah saya dah ambil dos penggalak. Kalau belum, mungkin akan lebih teruk daripada ini. Sedikit sebanyak, ia membantu," katanya.
Azira yang kini terpaksa berehat buat sementara waktu daripada menjalani penggambaran satu drama bersiri menjalani kuarantin selama tujuh hari.
Terdahulu, Azira berkongsi berita duka itu di Instagramnya dan menganggap ia umpama mimpi ngeri yang menjadi nyata.
© New Straits Times Press (M) Bhd