Emery perlu kejutkan Man Utd
MADRID: Unai Emery akan menambah rekodnya dalam Liga Europa jika Villarreal menewaskan Manchester United awal pagi Khamis ini namun kejayaan itu juga boleh menukar musim pertamanya di kelab itu menjadi sesuatu yang hebat.
Villarreal baharu sahaja menamatkan saingan di tangga kelima La Liga apabila mereka melantik Emery sebagai jurulatih musim panas lalu dengan pengendali dari Sepanyol itu akan diberikan imbuhan jika membawa kelab menang gelaran dan memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Dia boleh mendapatkan kedua-duanya di Gdansk jika kejutan dipamerkan berdepan United yang bukan hanya memberikan Villarreal trofi utama mereka tetapi juga tempat ke saingan utama Eropah musim depan.
"Kami menghormati United tetapi kami rasa berupaya menang trofi," kata Emery minggu lalu. "Kami akan bermain dengan yakin seperti yang kami tunjukkan sepanjang kejohanan."
Kesan akibat kekalahan juga besar memandangkan Villarreal bukan hanya menamatkan musim tanpa sebarang kejayaan tetapi gagal mendapat tempat ke Liga Europa musim depan.
Kekalahan kepada Real Madrid Sabtu lalu bermakna skuad kendalian Emery menamatkan musim di tangga ketujuh La Liga, dua di belakang tempat mereka berjaya duduki musim lalu dan hanya layak beraksi dalam kejohanan baharu UEFA, Europa Conference League.
Bagaimanapun tiada tekanan berlebihan buat Emery kerana ia bergantung kepada pertemuan Villarreal dan United, kejohanan pertama mereka di Eropah sejak Piala Intertoto pada 2004.
"Villarreal sudah mara ke separuh akhir Liga Europa sebanyak tiga kali sebelum ini jadi jika kami tidak layak lagi ke final ia pastinya sukar buat kami," kata bekas pemain tengah kelab itu, Marcos Senna yang menang Piala Intertoto, 17 tahun lalu.
"Manchester United adalah pasukan pilihan kerana sejarah dan belanja besar mereka. Kami sedikit ketinggalan tetapi jika kami bermain baik, saya rasa mereka boleh melakukan kejutan." - AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd