Vin Diesel iringi anak perempuan Paul Walker di majlis perkahwinannya
Meskipun Paul Walker telah tiada lagi, namun hubungan baik antara mendiang dan aktor Vin Diesel tetap subur menerusi satu-satunya waris aktor tersebut, Meadow Rain Walker.
Lebih bermakna lagi apabila baru-baru ini Vin Diesel diberi penghormatan mengiringi Meadow, 22, di majlis perkahwinannya dengan pilihan hati, aktor Louis Thornton-Allan.
Hari bersejarah itu turut dikongsi Meadow di laman Instagramnya menerusi beberapa gambar yang dimuat naik.
Vin Diesel yang dilihat segak mengenakan sut biru cair serta berkaca mata hitam, mengiringi Meadow mewakili bapanya dalam upacara yang cukup menyentuh perasaan.
Dalam temubual bersama Vogue, Meadow yang juga seorang model berkata majlis perkahwinan itu diadakan di tepi pantai di Republik Dominica.
Ia hanya dihadiri beberapa rakan terdekat dan keluarga kerana perintah sekatan dan penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.
Sejak sekian lama, keluarga Vin Diesel dan Walker diketahui cukup akrab terutama melalui perkongsian di media sosial milik mereka.
Bagi mengenang mendiang bapanya, Meadow menubuhkan Paul Walker Foundation yang menyasarkan untuk membantu melindungi lautan dan hidupan liar.
Paul Walker, yang cukup popular menerusi filem francais Fast and Furious terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya bersama rakannya Roger Rodas pada 2013.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com