Hot topics close

Aruwin tetap banggakan Malaysia

Aruwin tetap banggakan Malaysia
Aruwin tetap banggakan Malaysia

PETALING JAYA : Perjalanan peluncur alpine ski negara, Aruwin Salehhuddin pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, China, terhenti pada penyertaan acara Slalom Wanita Alpine Skiing, semalam.

Walaupun pencapaian pada acara kedua yang berlangsung di pusat Ski Alpine Nasional Yanqing kurang memberangsangkan selepas mengakhiri aksinya dengan DNF (gagal menamatkan perlumbaan) namun penyertaannya mewakili Malaysia cukup membanggakan.

Ketua kontinjen (CDM) Malaysia, Moira Tan Siew See berkata, faktor nasib tidak menyebelahi peluncur berusia 17 tahun itu apabila dia terjatuh ketika menghampiri garisan penamat pada saringan pertama, semalam.

“Walaupun nasib kurang menyebelahinya, Aruwin membanggakan rakyat Malaysia kerana penyertaannya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing.

“Bagi pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM), saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aruwin atas persembahannya yang luar biasa dalam kedua-dua acara Slalom Gergasi Wanita dan Slalom.

“Kami yakin bahawa Aruwin akan terus bekerja keras dan mempunyai keazaman yang tinggi untuk kembali lebih kuat 4 tahun kemudian untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026,” katanya.

ARUWIN kelihatan kecewa selepas terjatuh menyaksikan dia gagal menamatkan perlumbaan dalam acara Slalom Wanita Alpine Skiing.-AFP

Pada acara berkenaan, wakil dari Slovakia Petra Vlhova berjaya meraih tempat pertama dengan catatan masa 1 minit (m) 44 saat (s).

Tempat kedua pula disandang wakil dari Austria, Katharina Liensberger (1m 45s) manakala kedudukan ketiga milik Wendy Holdener dari Switzerland (1m 45s).

Terdahulu, Aruwin mencipta sejarah menjadi atlet wanita pertama berjaya melayakkan diri secara merit dan ia adalah penyertaan kedua, Malaysia di temasya tersebut.

Pada penyertaannya dalam acara giant slalom pada Isnin lalu menyaksikan Aruwin menduduki tempat ke-38 daripada keseluruhan 82 peserta sekali gus satu pencapaian cukup baik buat Malaysia yang bukannya sebuah negara bersalji.

Perjuangan negara akan diteruskan oleh seorang lagi wakil negara, Jeffrey Webb dalam acara slalom lelaki yang akan berlangsung pada Rabu depan.

Similar news
News Archive
This week's most popular news