JDT tidak pandang mudah cabaran Negeri Sembilan
PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan memandang mudah cabaran Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam ini.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, biarpun Negeri Sembilan berada di kedudukan tercorot carta Liga Super ketika ini, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Kami berada dalam prestasi terbaik dan mahu mengekalkannya (kemenangan), namun pemain perlu waspada dengan ancaman lawan walaupun mereka di tangga bawah liga.
“Mereka sudah pasti mahu membuktikan sesuatu kepada penyokong apabila bermain di laman mereka sendiri. Apa pun, kami akan bersedia untuk perlawanan ini,” katanya.
Menurut Bidoglio, tiga mata itu penting untuk menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Selangor FC selain mahu mempersiapkan diri bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE)
Dalam masa yang sama, Bidoglio tidak menolak kemungkinan untuk membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama dan baginya perkara itu tidak mendatangkan masalah kerana pemainya sentiasa bersedia.
“Semua pemain berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan ini memberi peluang kepada saya untuk memilih siapa yang akan beraksi menentang Negeri Sembilan nanti,” kata pengendali dari Argentina itu.
Ketika ini, skuad Harimau Selatan berada di puncak Liga Super dengan 34 mata selepas 12 perlawanan, manakala Negeri Sembilan yang dibimbing K. Nanthakumar ditangga tercorot dengan enam mata.
Selepas menentang Negeri Sembilan, JDT akan mengalih tumpuan menentang Ulsan HD FC yang dikendalikan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.-UTUSAN