JDT Fokus Satu Demi Satu Perlawanan
Pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio tetap fokus kepada satu perlawanan terlebih dahulu meskipun mereka kini selesa menerajui Liga Super.
JDT kini selesa di persada liga dengan 34 mata, lapan mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor FC. Ini selepas Harimau Selatan menewaskan The Red Giants pada 27 Oktober lalu.
Gol penjaring terbanyak liga, Bergson da Silva dan penyerang kebangsaan, Romel Morales memastikan JDT membawa pulang tiga mata dari Stadium MBPJ.
Meskipun dilihat berada dalam kedudukan terbaik untuk meneruskan dominasi dalam liga, Bidoglio enggan merasa terlalu selesa. Ini kerana masih banyak perlawanan yang perlu diharungi lebih-lebih lagi dengan pusingan kedua baru saja bermula.
Bidoglio juga percaya dengan liga kini memasuki pusingan kedua, JDT bakal berdepan tentangan lebih sukar. Atas sebab itu, beliau lebih suka dengan fokus satu aksi terlebih dahulu sebelum beralih ke aksi seterusnya.
“Pada pandangan saya, kita mesti fokus pada pasukan kita. Kita perlu (fokus) bermain dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.
“Semua perlawanan sukar bagi kita kerana kita perlu bermain secara berterusan. Tiga mata sangat penting tetapi kita mesti (fokus) bermain dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain. Pusingan kedua sudah bermula jadi banyak yang kita perlu capai,” katanya.
JDT kini mengalihkan fokus untuk aksi liga menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 1 November.
Ini disusuli aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Ulsan HD pada 5 November. Aksi ini juga aksi pertama buat Kim Pan-gon di Malaysia selepas memilih meletak jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya.