Jorginho kecewa dengan diri sendiri
REGGIO EMILIA – Bintang Itali, Jorginho kecewa dengan dirinya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri tanpa jaringan dengan Switzerland pada kelayakan Piala Dunia 2022 kelmarin.
Kegagalan pemain tengah Chelsea itu tidak menjejaskan apa-apa kerana The Azzurri tetap berjaya mencipta rekod dunia iaitu 36 perlawanan antarabangsa berturut-turut tanpa kalah sejak 2018.
Bagaimanapun, Jorginho, 29, tidak dapat menerima kenyataan itu kerana ia adalah kali kedua dia gagal menyudahkan sepakan penalti selepas terdahulu percubaannya dinafikan penjaga gol England sewaktu final Euro 2020.
“Saya sangat marah kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti. Ia menyakitkan kerana itu adalah situasi penting buat pasukan.
“Saya bertanggungjawab kerana Itali sepatutnya menang dan sepakan penalti itu adalah peluang terbaik untuk melakukannya.
“Namun, saya membuat kesilapan dan ia sangat mengecewakan,” kata Jorginho yang kini sudah enam kali gagal menyudahkan sepakan penalti dalam keseluruhan 35 percubaan.
Begitupun, Jorginho tetap bersedia meneruskan tanggungjawabnya sebagai pengambil pertama sepakan penalti Itali jika sekali lagi mendapat peluang pada aksi kelayakan seterusnya menentang Lithuania di Stadium Mapei awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Roberto Mancini itu ketika ini menduduki tangga teratas carta Kumpulan C kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 11 mata selepas mengharungi lima perlawanan. – AGENSI