Nekad fail cerai, Diana Danielle rupanya sudah minta peguam bersedia dari sebulan yang lalu
Peguam yang mewakili pelakon popular, Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan bahawa anak guamnya itu mahu menuntut cerai buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk dengan suaminya.
Malah Akberdin mengakui bahawa Diana sudah meminta pihaknya untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku berhubung rumah tangganya dengan pelakon, Farid Kamil sejak sebulan lalu.
Akberdin turut memaklumkan bahawa permohonan itu akan difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor selewat-lewatnya pada Isnin depan, lapor Mstar.
“Sebenarnya sudah ada arahan untuk bersedia sejak sebulan lalu daripada pihak Diana. Mereka difahamkan memang sudah tidak boleh hidup bersama. Jadi semalam dia hubungi saya.
“Minta saya siapkan dokumen diperlukan untuk dibawa ke mahkamah (syariah). Saya sedang persiapkan secepat mungkin dokumen-dokumen diperlukan jadi kemungkinan hari Jumaat atau Isnin depan pihak kami akan failkan,” katanya memetik laporan Mstar.
Mengulas lanjut, Akberdin menjelaskan pihaknya terlebih dahulu akan menyelesaikan pengesahan rujuk yang telah dilakukan pasangan selebriti itu pada 31 Ogos tahun lalu sebelum memfailkan kes penceraian.
Menurutnya, pengesahan rujuk tersebut perlu dilakukan oleh pihak mahkamah syariah mengikut prosedur yang sudah ditetapkan oleh institusi kehakiman berkenaan terlebih dahulu.
“Sebelum itu, kami kena selesaikan isu kes rujuk dengan mendapatkan pengesahan mahkamah dahulu. Sebab mereka cerai, kemudian rujuk kembali. Jadi kenalah ikut prosedur. Selesaikan rujuk kemudian baru boleh cerai buat kali kedua,” ujarnya.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson itu mengejutkan ramai pihak selepas memuat naik satu hantaran di platform Instagram mengumumkan keputusannya untuk berpisah dengan Farid Kamil.
Diana di dalam hantaran itu memberitahu dirinya sudah nekad untuk memfailkan perceraian terhadap suaminya buat kali kedua selain mengatakan janji yang sebelum ini ditabur oleh lelaki terbabit tidak tertunai.
“Saya sudah membuat keputusan untuk berpisah dengan suami saya secara rasmi dan akan memfailkan perceraian. Mungkin dia akan buat seperti biasa dengan bunga dan cincin serta janji kosong. Jangan pujuk.” Tulisnya dalam hantaran itu.
Perkongsian itu bagaimanapun sudah dipadamkan oleh bintang filem Imaginur berkenaan manakala Farid pula masih berdiam diri tanpa berkongsi sebarang luahan hati atau sebaliknya dalam mana-mana platform media sosial.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari dengan alasan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan
Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu dalam prosiding yang dilakukan secara atas talian menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun pasangan itu kembali rujuk tidak lama kemudian.
Sekadar info, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia sembilan tahun.
Baca juga: “Kalau saya tahu nikmatnya begini, dah lama saya pakai tudung” – Zila Bakarin akui tak rindu imej seksi