Hot topics close

BURSA MALAYSIA MENINGKAT LEPASI PARAS 1,600 PADA TENGAH HARI

BURSA MALAYSIA MENINGKAT LEPASI PARAS 1600 PADA TENGAH HARI
Bursa Malaysia, tengah hari, SD Guthrie, kenaikan

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lebih tinggi, melepas paras sokongan psikologi 1,600 mata, didorong oleh aktiviti belian saham semasa harga rendah dalam saham mewah dan saham bermodal sederhana.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.27 mata atau 0.02 peratus kepada 1,601.61 didahului oleh SD Guthrie dan YTL Power.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 10.82 mata lebih rendah kepada 1,591.06 daripada 1,601.88 semasa ditutup pada Rabu.

Selepas 11.30 pagi, indeks mula silih berganti antara menurun dan meningkat serta naik turun  antara 1,589.27 dan 1,603.28 mata.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 524 berbanding 355 manakala 430 kaunter tidak berubah, 1,066 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 1.21 bilion saham bernilai RM1.20 bilion.

Bagaimanapun, sentimen keseluruhan masih goyah dalam keadaan isyarat lemah daripada Wall Street dan menjelang laporan pekerjaan bulanan Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini serta pilihan raya presiden AS minggu depan.

Ketidaktentuan terhadap prospek penurunan kadar faedah AS turut mempengaruhi sentimen pasaran, menyebabkan pasaran serantau dalam dagangan berhati-hati.

Di dalam negara, sektor perladangan dan berkaitan tenaga meraih peningkatan tertinggi, bergantung kepada kenaikan minyak sawit mentah dan harga minyak mentah yang lebih kukuh ketika jangkaan permintaan yang meningkat daripada AS dan potensi kelewatan pertambahan output oleh OPEC.

Ini melonjakkan SD Guthrie untuk meneraju kaunter untung, dengan kaunter meningkat 12 sen kepada RM4.72.

YTL Power naik lapan sen kepada RM3.19 manakala Axiata dan IHH masing-masing naik enam sen kepada RM2.32 dan RM7.31.

Public Bank menambah dua sen kepada RM4.44 manakala Tenaga Nasional turun 16 sen kepada RM13.88, diikuti oleh Petronas Chemicals, yang merosot sembilan sen kepada RM5.33.

Antara kaunter aktif, Bina Puri susut dua sen kepada 34 sen manakala Classita dan Talam Transform masing-masing naik setengah sen kepada 4.0 sen dan 2.5 sen, dan MyEG menambah satu sen kepada 84.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.26 mata kepada 12,112.49, Indeks FBMT 100 naik 10.01 mata kepada 11,824.11, Indeks FBM Emas Syariah menokok 13.12 mata kepada 12,075.28 dan Indeks FBM 70 menambah 59.24 mata kepada 17,662.11.

Indeks FBM ACE pula rendah 24.14 mata kepada 4,981.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 61.57 mata kepada 19,025.11 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.13 mata kepada 173.04.

Indeks Tenaga menokok 6.61 mata kepada 841.86 dan Indeks Perladangan menambah 89.94 mata kepada 7,343.71.

-- BERNAMA

Similar news
News Archive
  • Radio frequency
    Radio frequency
    Radio-Frequency Identification Technology (RFID) in Healthcare Market - Industry Trends and Forecast to 2028
    1 Sep 2023
    3
  • Jasper Liu
    Jasper Liu
    You Have 9 New Netflix Treats To Binge This Weekend — Here’s What’s Worth Watching
    27 Jun 2020
    2
  • Malaysia Raya 2024
    Malaysia Raya 2024
    Zus Malaysia and Fishermen Integrated celebrate the everyday ...
    9 Apr 2024
    2